:: Utama :: Mengenai Kami :: Panduan Pendaftaran :: Rujukan :: Kursus & Latihan :: Alamat Pejabat Cawangan :: Aduan PKK :: Intranet :: MECD Web ::

  MENGENAI KAMI  

  :: LAPORAN TAHUNAN 2001 PUSAT KHIDMAT KONTRAKTOR ::

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Objektif PKK adalah untuk melahir dan membangunkan kontraktor binaan yang berkualiti dan berdaya saing. Bagi mencapai matlamat tersebut PKK berfungsi untuk :

  1. Mendaftar kontraktor kerja Awam dan Elektrik:

    1. Pendaftaran baru 

    2. Naik kelas dan tambah kepala/sub kepala

    3. Pembaharuan

    4. Kebenaran khas

    5. Perubahan maklumat

  2. Memberi pengiktirafan Taraf Bumiputera;

  3. Menguatkuasakan pendaftaran dan pemantauan prestasi kontraktor;

  4. Menjadi pusat rujukan maklumat kontraktor;dan

  5. Memberi latihan, khidmat nasihat dan bimbingan kepada kontraktor-kontraktor.

PKK Ibu Pejabat bertanggungjawab memproses semua permohonan pendaftaran baru, pembaharuan pendaftaran, kebenaran khas, kenaikan kelas, tambah kepala/sub kepala dan taraf Bumiputera bagi Kontraktor Kerja Awam Kelas A, B, BX dan C dan Kontraktor Kerja Elektrik Kelas I hingga III.  Urusan pendaftaran seperti di atas bagi kontraktor Kerja Awam Kelas D, E, EX  dan F dan kelas IV, V dan VI (Elektrik) diuruskan oleh PKK cawangan negeri. 

 

Sehingga Disember 2001, terdapat seramai 29,827 kontraktor yang berdaftar dengan PKK. Daripada bilangan tersebut, seramai 25,304 (85%) adalah kontraktor Bumiputera di mana seramai 19,109 (75%) adalah kontraktor Kelas F, manakala bilangan kontraktor bukan Bumiputera adalah seramai 4,523 (15%) yang kebanyakannya Kelas D ke atas. Bilangan kontraktor kerja awam adalah seramai 28,111 di mana seramai 24,393 adalah kontraktor Bumiputera dan bakinya seramai 3,718 adalah kontraktor bukan Bumiputera. Manakala kontraktor kerja elektrik pula adalah seramai 1,716 kontraktor di mana seramai 911 kontraktor Bumiputera dan bakinya seramai 805 kontraktor bukan Bumiputera.



Kontraktor Kerja Awam Bumiputera dan Bukan Bumiputera Mengikut Kelas Sehingga Tahun 2001

 

Kontraktor Kerja Awam Sehingga Tahun 2001

PENDAFTARAN BARU

Pada tahun 2001, PKK telah menerima sebanyak 7,955 permohonan baru di mana 5,897 (74%) permohonan telah diluluskan. Bilangan ini meningkat berbanding tahun 2000, di mana 5,818 permohonan diterima dan 3,332 (36%) permohonan telah diluluskan.

 

Pendaftaran Baru Tahun 1999 Sehingga 2001

 

Antara sebab-sebab permohonan ditolak adalah kerana:

  1. Kegagalan mengemukakan dokumen sokongan dan maklumat tambahan seperti Annual-Return;

  2. Ketiadaan ahli pengurusan yang bersesuaian dalam bidang teknikal seperti jurutera;

  3. Modal yang tidak mencukupi; dan

  4. Terdapat ahli pengurusan terlibat dengan syarikat lain yang telah pun berdaftar dengan PKK.

 

PEMBAHARUAN PENDAFTARAN

 

Pada tahun 2001, sebanyak 10,923 permohonan pembaharuan pendaftaran diterima dan 10,774 (98.6%) permohonan telah diluluskan berbanding 7,507 (91%) permohonan diluluskan daripada 8,228 permohonan pembaharan pendaftaran yang diterima pada tahun 2000.

 

Antara sebab-sebab permohonan pembaharuan ditolak adalah kerana:

  1. Permohonan Pembaharuan dikemukakan selepas luput dari tarikh pendaftaran;

  2. Pegawai Teknikal telah berhenti dengan kontraktor; dan 

  3. Perubahan struktur ekuiti syarikat

 

Permohonan Pembaharuan Pendaftaran 

Tahun 1999 Sehingga 2001

 

 

PERMOHONAN NAIK KELAS

 

Permohonan Naik Kelas adalah merupakan permohonan daripada kontraktor yang sedang berdaftar dengan PKK dalam kelas yang lebih rendah untuk mendapatkan kelas yang lebih tinggi, contohnya kontraktor kelas B naik kelas ke A.

 

Pada tahun 2001, sebanyak 582 permohonan Naik Kelas telah diterima dan sebanyak 360 (62%) permohonan telah diluluskan. Walau bagaimanapun, permohonan menurun berbanding pada tahun 2000 di mana permohonan diterima sebanyak 612 dab 521 diluluskan. Daripada bilangan tersebut, sebanyak 256 kontraktor awam telah dinaikkan ke kelas yang lebih tinggi manakala sebanyak 65 bagi kontraktor elektrik.

 

Antara sebab-sebab permohonan kontraktor untuk naik kelas ditolak adalah kerana:

  1. Tiada mempunyai rekod kerja bagi tempoh lima (5) tahun kebelakangan;

  2. Tidak mengemukakan dokumen rekod kerja seperti surat penerimaan tawaran tender dan sijil siap kerja;

  3. Modal tidak mencukupi; dan

  4. Tiada ahli pengurusan berkelulusan teknikal yang bersesuaian seperti jentera.

 

Permohonan Naik Kelas Tahun 1999 Sehingga 2001

 

 

PERMOHONAN TAMBAH KEPALA/SUB KEPALA

 

Permohonan tambah kepala pula ialah permohonan daripada kontraktor yang sedang berdaftar dengan PKK untuk mendapatkan Kepala atau Sub Kepala yang tiada dalam Lesen Pendaftaran asal.

 

Pada tahun 2001, permohonan tambah Kepala dan Sub Kepala diterima sebanyak 2,906 permohonan dan 2,460 (85%) permohonan diluluskan. Ini bertambah berbanding tahun 2000, di mana jumlah permohonan yang diterima ialah 2,289 dan 1,529 (67%) telah diluluskan.

 

Antara sebab-sebab permohonan ditolak adalah kerana:

  1. Tiada pengalaman dalam bidang berkenaan;

  2. Tiada peralatan dalam bidang berkenaan; dan

  3. Tiada pegawai teknikal yang berkaitan dengan bidang berkenaan.


Permohonan Tambah Kepala / Sub-Kepala 
Tahun 1999 Sehingga 2001

KEBENARAN KHAS 


PKK juga memproses dan meluluskan permohonan Kebenaran Khas. Kebenaran Khas ialah kelulusan sementara yang diberi kepada kontraktor untuk menyertai satu-satu tawaran kerana tidak cukup kelayakan yang diperlukan seperti terkandung di dalam tawaran atau tender. Dua (2) jenis Kebenaran Khas yang dibenarkan iaitu:

  1. Memasuki satu kelas lebih tinggi dari kelas sedia ada; dan\

  2. Memasuki tawaran di mana Kepala/Sub-Kepala tidak terdapat di dalam pendaftaran sedia ada di dalam kelas yang sama.

Pada tahun 2001, permohonan Kebenaran Khas yang diterima adalah sebanyak 2,114 permohonan dan 1,366 (64.3%) diluluskan. Jumlah ini menurun berbanding tahun 2000 di mana sebanyak 2,460 (76%) permohonan diluluskan.

 

Antara sebab-sebab permohonan Kebenaran Khas ditolak kerana:

  1. Gagal mengemukakan keputusan atau iklan tender;

  2. Kontraktor baru didaftarkan dan tiada pengalaman dalam kelas sedia ada;

  3. Modal tidak mencukupi;

  4. Tiada mempunyai kakitangan teknikal yang sesuai dengan bidang berkenaan;

  5. Kontraktor dalam siasatan kerana kakitangan teknikal telah meletak jawatan; dan

  6. Tarikh pendaftaran syarikat luput sebelum tarikh tender ditutup

 

Permohonan Kebenaran Khas Tahun 1999 Sehingga 2001

 

 

TARAF BUMIPUTERA

 

Pada tahun 2001, permohonan Taraf Bumiputera telah meningkat di mana sebanyak 2,530 permohonan diterima dan sebanyak 2,110 (83%) diluluskan berbanding sebanyak 1,606 permohonan diterima dan sebanyak 1,191 (74.1%) diluluskan pada tahun 2000.

 

Selain memberi status Taraf Bumiputera kekal iaitu bagi tempoh dua (2) tahun, PKK juga memberi status Bumiputera Jangka Pendek (TBJ) untuk tempoh enam (6) hingga 12 bulan. TBJ diberi kepada syarikat yang baru diluluskan pendaftarannya sehingga siasatan selesai di buat ke atas pejabat syarikat.

 

Antara sebab-sebab permohonan pengiktirafan Taraf Bumiputera ditolak adalah kerana:

  1. Mengsubkan keseluruhan kerja kepada bukan Bumiputera;

  2. Lembaga Pengarah bekerja dengan pihak lain;

  3. Pengurusan projek dikuasai oleh bukan Bumiputera;

  4. Pengurusan kewangan dikuasai oleh bukan Bumiputera; dan

  5. Ahli Lembaga Pengarah Bumiputera kurang dari 51%.


Permohonan Pengiktirafan Taraf Bumiputera 
Tahun 1999 Sehingga 2001

TINDAKAN TATATERTIB

Pada tahun 2001, sebanyak 4,278 kontraktor telah dikenakan tindakan tatatertib. Daripada bilangan tersebut, 4,200 kontraktor (98%) dibatalkan pendaftaran kerana tidak membaharui pendaftaran lesen dan pemilik meninggal dunia manakala 66 kontraktor (1.5%) telah dikenakan tindakan penahanan dan 12 kontraktor (0.5%) digantung lesen atas sebab-sebab antaranya seperti penipuan kerja kontrak, mengsubkan majoriti kontrak, memberi maklumat palsu dan projek tidak disiapkan mengikut jadual, gagal melaksanakan projek serta menolak tawaran kerja.

Selaras dengan peranan PKK sebagai pusat rujukan maklumat kontraktor, PKK telah memohon kerjasama kementerian dan agensi Kerajaan supaya mengemukakan Maklumat Rekod Kerja Kontraktor (MRK) kepada PKK. MRK ini penting untuk dimasukkan dalam fail kontraktor dan menjadi rujukan agensi dalam membuat penilaian tender. Surat berkaitan telah dikeluarkan kepada semua Kementerian dan Agensi Kerajaan. Pada tahun 2001, sebanyak 307 agensi telah memohon profil kontraktor dan sebanyak 4,787 profil telah dikeluarkan.

Kontraktor Dikenakan Tindakan Tatatertib 
Tahun 1999 Sehingga 2001

LATIHAN, KHIDMAT NASIHAT DAN BIMBINGAN KEPADA KONTRAKTOR

Dalam usaha untuk meningkat dan membantu kontraktor Bumiputera untuk berdaya maju dan berdaya saing, PKK telah memberi bimbingan dan latihan kepada kontraktor-kontraktor melalui kursus, bengkel, ceramah dan dialog kepada kontraktor yang bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kontraktor. Di antara bidang kursus yang dilaksanakan ialah kursus landskap, pembinaan jalan dan pengurusan projek. Kursus dan klinik kontraktor dianjur bersama dengan persatuan-persatuan kontraktor, agensi-agensi Kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan. Selaras dengan usaha meningkatkan prestasi dan kualiti kontraktor, PKK akan menggiatkan kursus-kursus motivasi dan pengurusan khususnya kepada kontraktor yang bermasalah.

Pada tahun 2001, sebanyak 27 kursus kontraktor telah diadakan yang dihadiri oleh seramai 1,226 peserta manakala tujuh (7) ceramah/dialog telah juga diadakan yang dihadiri seramai 2,750 peserta. Persatuan kontraktor yang terlibat termasuklah Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) peringkat persekutuan dan negeri serta Persatuan Kontraktor Berwibawa. Kursus yang diadakan ini telah dapat meningkatkan pengetahuan dan pemahaman kontraktor dalam bidang binaan serta dapat meningkatkan keyakinan kontraktor Bumiputera. Mesyuarat yang diadakan dengan Persatuan-persatuan Kontraktor juga telah dapat mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh kontraktor untuk diambil tindakan susulan. PKK juga mendapat maklumbalas mengenai isu-isu pendaftaran kontraktor dan mengambil langkah memperbaikinya.

PENINGKATAN MUTU PERKHIDMATAN PKK

Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan PKK, beberapa langkah telah diambil seperti mengkaji semula syarat-syarat pendaftaran, penggunaan borang baru pendaftaran, panduan permohonan, memperkukuh kriteria pemberian taraf Bumiputera, mempertingkat dan memantapkan prestasi aplikasi sistem komputer serta memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan.

Bagi mempercepatkan urusan pendaftaran, PKK Ibu Pejabat telah menggunakan Receipting Machine bagi memproses penerimaan permohonan di mana resit akan dikeluarkan pada hari yang sama permohonan diterima. Langkah ini dibuat bagi memudahkan kontraktor dalam urusan pendaftaran.

Dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan yang telus, cekap dan cepat, PKK sedang dalam proses menyediakan dokumentasi ISO 9000. Deraf dokumen berkaitan dengan prosedur kerja bagi pendaftaran baru telah disiapkan.

 

PEMANTAUAN PRESTASI KERJA KONTRAKTOR

PKK membuat pemantauan ke atas prestasi kerja kontraktor bagi memastikan kontraktor menyiapkan projek pembangunan Kerajaan mengikut jadual. Pemantauan ini dilakukan melalui lawatan ke tapak projek dan mesyuarat dengan agensi pelaksana. Di samping itu, semakan ke atas rekod kerja syarikat dilakukan bagi syarikat-syarikat yang memohon kenaikan kelas.

Hasil pemantauan yang dilakukan, PKK mengedarkan senarai kontraktor yang dikenakan tindakan tatatertib ke semua agensi Kerajaan. Maklumat ini boleh dicapai melalui laman web PKK iaitu http://pkk.mecd.gov.my

 

PERANCANGAN KERJA PKK 2002

PKK akan terus melaksanakan tugas-tugas pendaftaran kontraktor dan memastikan kontraktor yang berdaftar benar-benar berkualiti. Permohonan pendaftaran akan disemak dan diteliti bagi memastikan ianya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Program latihan dan kursus juga akan dipergiatkan termasuk kursus teknikal, motivasi dan pengurusan.

PKK juga akan meningkatkan penguatkuasaan pendaftaran dengan mengadakan lawatan dan siasatan ke premis syarikat.

 

PENGEMASKINIAN BORANG PERMOHONAN PENDAFTARAN DENGAN PUSAT KHIDMAT KONTRAKTOR

Bagi memudahkan pelanggan mengisi borang mengenai urusan pendaftaran kontraktor, PKK telah menggantikan bornag lama dengan dua (2) borang permohonan baru iaitu:

  1. Borang Permohonan Pendaftaran Baru

    Borang permohonan ini khusus untuk Permohonan Baru Awam, Permohonan Baru Elektrik, Naik Kelas Awam, Naik Kelas Elektrik, Tambah Kepala Awam, Tambah Kepala Elektrik dan Pengiktirafan Taraf Bumiputera.

  2. Borang Permohonan Pembaharuan

    Borang ini khusus untuk semua jenis permohonan pembaharuan lesen yang terdiri daripada Pembaharuan Kontraktor Kerja Awam, Pembaharuan Kontraktor Kerja Elektrik dan Pembaharuan Taraf Bumiputera.

    Di antara perubahan dan penambaikan yang telah dibuat ialah menyediakan panduan bercontoh cara pengisian borang dan mkalumat keperluan dokumen yang perlu dikemukakan oleh pemohon yang dijelaskan secara terperinci. Penggunaan borang ini akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2002 dengan harga RM5.00 bagi setiap satu borang.