|
:: Utama ::
|
|
MENGENAI KAMI |
| :: LAPORAN TAHUNAN 2004 PUSAT KHIDMAT KONTRAKTOR :: |
|
Penubuhan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bermula pada 1985 dengan pembentukan PUSAKABUMI di bawah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Matlamat penubuhannya adalah bagi mewujudkan fungsi pendaftaran di bawah satu pusat pendaftaran yang berupaya menyelaras dan memantau usaha Kerajaan untuk melibatkan Bumiputera dalam industri binaan.
Selain berperanan sebagai tempat pendaftaran dan penguatkuasaan, dan penguatkuasaan, PKK turut mewujudkan dan membangunakan usahawan binaan Bumiputera selaras dengan matlamat MPPB. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, keperluan kepada pembinaan infrastruktur asas sememangnya tinggi. Oleh itu peluang Bumiputera untuk menceburi dan menguasai bidang pembinaan adalah terbuka luas.
TERAS STRATEGI
Bagi merangsang aktiviti sektor pembinaan, MECD melalui PKK telah merangka strategi pelaksanaan supaya usahawan binaan Bumiputera terus berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan seperti berikut :
Ke Arah Memperkasa Kontraktor Kelas F
Bagi memastikan golongan Bumiputera sentiasa memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, intensif istimewa telah diwujudkan kepada golongan ini untuk memasuki bidang pembinaan. Juteru, lesen Kelas F diwujudkan khas untuk Bumiputera sahaja. Pada tahun 2004 sahaja, sebanyak 6,586 kontraktor Kelas F berdaftar dengan PKK. Jumlah ini adalah melebihi bilangan yang didaftarkan bagi tempoh lima (5) tahun dalam Rancangan Malaysia ke-7 iaitu sebanyak 6,392. Bagi tempoh 2001 hingga 2004, sejumlah 21,923 kontraktor kelas F telah didaftarkan. Peningkatan yang amat besar ini membuktikan kejayaan dasar Kerajaan yang ingin melihat lebih ramai Bumiputera terlibat dalam program/aktiviti pembangunan negara. Namun begitu, pertambahan yang mendadak ini menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan antara bilangan kontraktor Kelas F dan peluang kerja yang wujud di pasaran.
Peluang kerja di pasaran pada tahun 2004 adalah sebanyak RM 174,246,097. Nilai purata setiap kerja yang dianggarkan hanya berjumlah RM 192,112. Nilai kerja yang sedikit ini memberi kesan kepada prestasi dan motivasi kontraktor. Justeru, bagi mengimbangi kembali bilangan kontraktor Kelas F dengan bilangan kerja dan nilai yang wujud, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk membekukan sementara pemberian lesen Kelas F.
PRESTASI
Prestasi Pendaftaran
Sehingga Disember 2004, terdapat sebanyak 48,765 kontraktor telah berdaftar dengan PKK yang terdiri daripada Kontraktor Kerja Awam dan Kontraktor Kerja Elektrik.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 46,409 adalah Kontraktor Kerja Awam di mana 42,015 kontraktor tersebut adalah Kontraktor Bertaraf Bumiputera. Sebanyak 34,900 kontraktor Bumiputera adalah berdaftar dalam Kelas F. Bilangan Kontraktor Kerja Awam berdaftar mengikut kelas bagi tahun 2000 sehingga 2004 adalah seperti di bawah.
Bilangan Kontraktor Kerja Awam Berdaftar Mengikut Kelas bagi tahun 2000 sehingga 2004
Di samping itu, sebanyak 2,356 adalah Kontraktor Kerja Elektrik yang melibatkan 1,490 kontraktor bertaraf Bumiputera. Bilangan kontraktor kerja elektrik berdaftar mengikut kelas bagi tahun 2000 sehingga tahun 2004 adalah seperti jadual di bawah.
Bilangan Kontraktor Kerja Elektrik Berdaftar Mengikut Kelas bagi Tahun 2001 sehingga 2004
Prestasi Permohonan Baru
Pada tahun 2004, PKK telah menerima sebanyak 9,129 permohonan baru yang mana 4,699 atau 51.47% daripadanya telah diluluskan. Jumlah permohonan ini menurun berbanding tahun 2003, iaitu sebanyak 8,505 atau 54.82% permohonan diluluskan daripada 15,514 permohonan yang diterima. Permohonan pendaftaran baru bagi tahun 2000 sehingga 2004 adalah seperti Carta 1.
Carta 1 : Permohonan Pendaftaran Baru bagi Tahun 2000 sehingga 2004
Prestasi Permohonan Naik Kelas
Permohonan Naik Kelas adalah permohonan yang dikemukakan oleh kontraktor yang berdaftar dengan PKK untuk kelas yang lebih tinggi. Pada tahun 2004, PKK telah menerima sebanyak 385 permohonan Naik Kelas dengan 178 atau 46.23% telah diluluskan dan selebihnya ditolak. Jumlah permohonan Naik Kelas menurun berbanding tahun 2003 yang mana 841 permohonan diterima dan 276 atau 32.82% telah diluluskan. Permohonan naik kelas bagi tahun 2000 sehingga 2004 adalah seperti ditunjukkan dalam Carta 2.
Carta 2 : Permohonan Naik Kelas bagi Tahun 2000 sehingga 2004
Prestasi Permohonan Tambah Kepala/Sub Kepala
Permohonan Tambah Kepala/Sub Kepala Kerja adalah permohonan yang dikemukakan oleh kontraktor yang sedang berdaftar dengan PKK untuk mendapat Kepala/Sub Kepala yang tidak terdapat dalam lesen pendaftaran sedia ada. Bagi tahun 2004, sebanyak 4,027 permohonan diterima dan 3,173 atau 63.41% diluluskan pada tahun 2003. Pecahan permohonan Tambah Kepala/Sub Kepala kerja yang diterima dan diluluskan bagi tahun 2000 sehingga 2004 adalah seperti Carta 3.
Carta 3 : Permohonan Tambah Kepala bagi Tahun 2000 sehingga 2004
Prestasi Pembaharuan Pendaftaran
Sebanyak 17,456 permohonan pembaharuan telah diterima oleh PKK pada tahun 2004 yang mana 17,136 atau 98.17% telah diluluskan. Pada 2003 pula sebanyak 11,314 atau 79.85% permohonan diluluskan daripada 14,170 permohonan yang telah diterima. Pecahan permohonan pembaharuan pendaftaran yang diterima dan diluluskan adalah seperti di Carta 4.
Carta 4 : Permohonan Pembaharuan Pendaftaran bagi Tahun 2000 sehingga 2004
Prestasi Permohonan Taraf Bumiputera
Pada tahun 2004, permohonan untuk mendapatkan Taraf Bumiputera telah menurun berbanding tahun 2003 yang mana sebanyak 3,158 permohonan diterima dan sebanyak 1,994 atau 63.14% diluluskan. Permohonan pengiktirafan Taraf Bumiputera bagi tahun 2000 sehingga 2004 adalah seperti Carta 5.
Carta 5 : Permohonan Pengiktirafan Taraf Bumiputera bagi Tahun 2000 sehingga 2004
Prestasi Permohonan Kebenaran Khas
Kebenaran Khas merupakan kelulusan sementara yang diberi kepada kontraktor bagi membolehkan mereka menyertai sesuatu tawaran atau tender. Kebenaran ini diberikan kepada kontraktor berdaftar yang tidak mempunyai cukup kelayakan yang diperlukan sebagaimana terkandung dalam syarat tawaran atau tender. Kebenaran Khas terbahagi kepada dua (2) jenis iaitu Kebenaran Khas untuk memasuki satu (1) kelas lebih tinggi atau Kebenaran Khas bagi memasuki tawaran Kepala/Sub Kepala yang tidak terdapat dalam pendaftaran sedia ada.
Pada tahun 2004, permohonan Kebanaran Khas telah meningkat berbanding tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 5,900 permohonan diterima dengan 4,436 atau 75.18% diluluskan berbanding 5,034 permohonan diterima dan 3,545 atau 70.42% diluluskan pada tahun 2003. Jumlah permohonan Kebenaran Khas yang telah diterima dan diluluskan pada tahun 2000 sehingga 2004 adalah seperti Carta 6.
Carta 6 : Permohonan Kebenaran Khas bagi tahun 2000 sehingga 2004
Prestasi Tindakan Tatatertib
Pada tahun 2004, seramai 137 kontraktor telah dikenakan tindakan tatatertib iaitu sebanyak 13 kontraktor telah disenaraihitamkan manakala 124 kontraktor pula telah ditahan daripada memasuki tawaran. Tindakan tersebut diambil kerana kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan seperti gagal mengemukakan maklumat syarkat atau projek apabila diminta, mengemukakan maklumat palsu, menolak tawaran undi, sebut harga atau tender yang telah disetujuterima, menyertai tender, kerja undi, sebut harga dan pra-kelayakan ketika penguatkuasaan penahanan atau penggantungan, mengagihkan kontrak atau bertindak sebagai agen komisyen atau penipuan kontrak. Bilangan kontraktor yang dikenakan tindakan tatatertib adalah seperti pada Carta 7.
Carta 7 : Bilangan Kontraktor yang Dikenakan Tindakan Tatatertib bagi Tahun 2000 sehingga 2004
Prestasi Latihan
Pada tahun 2004, sebanyak 46 kursus telah diadakan berbanding 25 kursus pada tahun 2003. Kursus-kursus asas dan peningkatan telah diadakan untuk bakal kontraktor dan kontraktor sedia ada bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Bilangan kursus dan bilangan peserta yang menyertai kursus bagi tahun 2003 dan 2004 adalah seperti di jadual di bawah.
Bilangan Peserta Kursus/Latihan bagi Tahun 2003 dan 2004
PROSPEK
Keputusan Kerajaan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan bernilai RM 2.4 billion pada tahun 2005 mencerminkan usaha murni Kerajaan bagi membantu menjana kembali sektor pembinaan negara. Kerajaan juga menggalakkan 'smart venture' di kalangan kontraktor dalam usaha mengimbangi peluang kerja yang agak terhad dalam pasaran industri pembinaan hari ini.
Sehubungan itu, PKK telah merancang beberapa program baru di samping memperkukuh program sedia ada bagi meneruskan kesinambungan dalam memperkasakan kontraktor. Antara program yang akan dijalankan adalah kursus-kursus dan program khidmat nasihat kepada kontraktor. PKK juga merancang untuk melaksanakan program pendedahan kontraktor Bumiputera ke peringkat antarabangsa bagi membuka ruang dan jaringan perniagaan yang lebih luas melalui seminar, forum, misi perdangangan dan kerjasama antarabangsa.
Selain itu, PKK juga akan memperkukuhkan kedudukan kontraktor Bumiputera dalam pasaran tempatan melalui penyertaan produk binaan Bumiputera dalam pameran binaan tempatan. Program pinjaman mudah dengan kadar faedah serendah 4% setahun kepada kontraktor ketika pembelian peralatan seperti excavator, crane dan grader adalah antara langkah yang dicadangkan olek PKK dalam memperkukuhkan siswazah yang menganggur dalam bidang teknikal seperti jurutera dan juruukur bahan dengan menempatkan mereka selama enam (6) bulan di syarikat pembinaan bagi memberi pendedahan dan pengalaman sebelum mereka berkecimpung dalam industri binaan.
KESIMPULAN
Adalah menjadi matlamat MECD untuk menjadikan sektor pembinaan sebagai salah satu sektor yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara seiring dengan sektor-sektor lain. Melalui kursus-kursus asas dan peningkatan yang diadakan untuk bakal kontraktor dan kontraktor sedia ada, pengetahuan dan kemahiran mereka dapat dipertingkatkan lagi di samping melahirkan usahawan kontraktor yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan.
|