|
:: Utama ::
|
|
MENGENAI KAMI |
| :: LAPORAN TAHUNAN 2005 PUSAT KHIDMAT KONTRAKTOR :: |
|
PENGENALAN PKK mempunyai peranan yang besar untuk membangunkan usahawan binaan. Selain daripada menjadi pusat pendaftaran dan penguatkuasaan kontraktor serta tempat rujukan maklumat mengenai industri binaan negara, PKK juga berperanan memastikan industri pembinaan negara berkembang maju.
TERAS STRATEGI PKK telah merangka dan melaksanakan beberapa strategi bagi merangsang aktiviti sektor pembinaan bermatlamat agar usahawan binaan Bumiputera terus maju dan mampu bersaing. Strategi-strategi tersebut merangkumi:
Memperkasa Kontraktor Kelas F dan Kualiti Binaan Kewujudan bilangan kontraktor Bumiputera yang ramai dalam Kelas F tidak seimbang dengan bilangan projek yang ditawarkan oleh Kerajaan. Justeru Kerajaan telah mengambil langkah membekukan sementara pengeluaran lesen Kelas F bermula 8 April 2005. Kajian untuk penambahbaikan dalam pengeluaran lesen Kelas F telah dilaksanakan. Berdasarkan kepada kajian, Kerajaan telah bersetuju memberi peluang mempertingkat dan memperkukuhkan kemahiran kontraktor serta melaksanakan pengawasan dan pemantauan dengan lebih berkesan. Beberapa pembaharuan diperkenalkan bagi melahirkan kontraktor Kelas F yang benar-benar tulen dan komited. Bagi melihat impak dari pembaharuan dasar ini, Kerajaan masih mengekalkan pembekuan lesen Kelas F sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Sistem Binaan Berindustri IBS diperkenalkan dengan tujuan untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada buruh asing. Sistem ini menggunakan kaedah pemasangan komponen binaan yang telah siap dibuat di tapak pembinaan. Sistem IBS ini akan membantu sesuatu projek siap lebih cepat dan berupaya kelihatan bersih dan teratur. Lantaran itu, penggunaan IBS ini amat digalakkan oleh Kerajaan, khasnya terhadap projek-projek yang perlu disiapkan dengan cepat. Berdasarkan hasrat Kerajaan untuk menetapkan penggunaan IBS dalam setiap projek Kerajaan, kontraktor Bumiputera harus bersama-sama menikmati peluang ini. Oleh itu, PKK sedang merangka pelan untuk membolehkan kontraktor Bumiputera turut aktif dalam pengurusan IBS. Antaranya, PKK sedang menyiapkan roadmap sebagai panduan dan bagi memudahkan kontraktor Bumiputera menyertainya. PKK juga akan menganjurkan Seminar IBS yang akan menjemput pihak-pihak terlibat secara langsung dalam penggunaan IBS sebagai ahli panel.
Penyeragaman Kursus Bagi memastikan sektor ini mempunyai pekerja yang berkemahiran, PKK mengambil inisiatif memperbanyakkan lagi kursus-kursus yang dikenal pasti dapat meningkatkan kemahiran kontraktor. Kursus-kursus dipecahkan kepada kursus teknikal, pengurusan, kewangan, motivasi dan pembangunan insan. Langkah juga diambil dengan memperkemas setiap modul latihan agar kursus yang dilaksanakan sentiasa memenuhi keperluan semasa.
Penstrukturan Semula Kepala dan Sub-Kepala Lesen PKK Penstrukturan semula kepala dan sub-kepala lesen pendaftaran kontraktor di bawah PKK dilakukan bagi memperkemaskan kepala dan sub-kepala yang ada agar sesuai dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi dalam industri pembinaan ketika ini. Proses Pengstrukturan semula kepala dan sub-kepala ini telah melibatkan beberapa agensi kerajaan dan swasta yang sama-sama bergabung kepakaran untuk menghasilkan output terbaik bagi kegunaan industri pembinaan negara. Seterusnya, satu draf cadangan yang lengkap dan komprehensif berkaitan kepala dan sub-kepala pendaftaran kontraktor PKK akan dikumpulkan dan dijadikan input untuk dikemaskini agar menepati dengan kehendak teknologi terkini dalam industri pembinaan.
PRESTASI Sejak ditubuhkan terdapat 48,700 kontraktor telah berdaftar dengan PKK sehingga Disember 2005. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 46,087 adalah Kontraktor Kerja Awam manakala 2,613 adalah Kontraktor Kerja Elektrik. Sebanyak 41,416 (89%) adalah kontraktor bertaraf Bumiputera dalam Pendaftaran Kerja Awam manakala 1,576 (60%) pula adalah kontraktor bertaraf Bumiputera dalam pendaftaran Kerja Elektrik. Bilangan Kontraktor bagi Kerja Awam dan Kerja Elektrik dari 2001 hingga 2005 adalah seperti di Jadual 2.17 dan Jadual 2.18.
Jadual 2.17: Bilangan Kontraktor Kerja Awam Berdaftar Bagi Tahun 2001 Sehingga 2005
Jadual 2.18: Bilangan Kontraktor Kerja Elektrik Berdaftar Bagi Tahun 2001 Sehingga 2005
Permohonan Pendaftaran Baru Sebanyak 4,629 permohonan pendaftaran baru telah diterima pada tahun 2005 dan sebanyak 2,821 telah diluluskan. Bilangan permohonan ini adalah berkurangan jika dibandingkan dengan permohonan pada tahun 2004, iaitu sebanyak 9,129 di mana 4,699 darinya telah diluluskan. Bilangan permohonan yang berkurangan ini berlaku disebabkan Kerajaan melalui PKK telah membekukan permohonan lesen Kelas F. Bagi tempoh RMKe-8, bilangan permohonan diterima adalah sebanyak 50,783 dan 31,884 telah diluluskan. Bilangan permohonan dan yang diluluskan bagi Pendaftaran Baru adalah seperti dalam Carta 2.1.
Carta 2.1: Permohonan Pendaftaran Baru Bagi Tahun 2001 Sehingga 2005 Permohonan Naik Kelas PKK telah meluluskan 278 (78.3%) permohonan Naik Kelas berbanding 355 yang dipohon pada 2005. Bilangan yang diluluskan adalah bertambah sebanyak 100 (36%) lesen berbanding lesen yang diluluskan pada 2004. Secara keseluruhan bagi RMKe-8, PKK telah meluluskan sebanyak 1,332 lesen Naik Kelas berbanding 2,439 permohonan yang telah diterima. Carta 2.2 menunjukkan secara terperinci bilangan permohonan dan yang diluluskan bagi kategori ini.
Carta 2.2: Permohonan Pendaftaran Naik Kelas Bagi Tahun 2001 Sehingga 2005 Permohonan Tambah Kepala / Sub-Kepala Bagi kategori ini, sebanyak 19,920 permohonan telah diterima sepanjang RMKe-8 berbanding 13,987 yang diluluskan. Daripada jumlah itu, 4,440 permohonan diterima pada 2005 dan sebanyak 3,089 (69.6%) telah diluluskan. Bilangan ini telah bertambah berbanding tahun 2004 apabila 4,027 permohonan diterima berbanding 2,255 permohonan diluluskan. Bilangan permohonan dan yang diluluskan untuk kategori ini ditunjukkan dalam Carta 2.3.
Carta 2.3: Permohonan Pendaftaran Tambah Kepala Bagi Tahun 2001 Sehingga 2005 Permohonan Pembaharuan Pendaftaran Sebanyak 19,870 permohonan Pembaharuan Pendaftaran diterima oleh PKK pada tahun 2005. Daripada jumlah tersebut, 17,150 (86.3%) permohonan telah diluluskan. Bilangan ini didapati meningkat setiap tahun kerana permohonan pembaharuan mesti dibuat oleh kontraktor setiap dua (2) tahun sekali. Sepanjang RMKe-8, sebanyak 75,120 permohonan pembaharuan diproses dan sebanyak 68,885 telah diluluskan. Carta 2.4 menunjukkan bilangan permohonan pembaharuan dan juga bilangan yang diluluskan sejak 2001.
Carta 2.4: Permohonan Pembaharuan Pendaftaran Bagi Tahun 2001 Sehingga 2005 Permohonan Taraf Bumiputera Bilangan permohonan untuk mendapatkan Taraf Bumiputera pada 2005 didapati meningkat kepada 4,519 berbanding 3,158 pada 2004. Daripada jumlah permohonan tahun 2005, sebanyak 3,325 (73.6%) telah diluluskan berbanding hanya 63.1 peratus pada 2004. Sepanjang RMKe-8, sebanyak 17,939 permohonan diterima dan 13,003 daripadanya telah diluluskan seperti ditunjukkan melalui Carta 2.5.
Carta 2.5: Permohonan Pengiktirafan Taraf Bumiputera Bagi Tahun 2001 Sehingga 2006 Permohonan Kebenaran Khas Bagi tahun 2005, sebanyak 4,811 (72.2%) permohonan telah diluluskan daripada 6,660 permohonan yang diterima oleh PKK. Secara keseluruhan dalam RMKe-8, permohonan untuk mendapatkan Kebenaran Khas sentiasa meningkat setiap tahun di mana sebanyak 22,163 permohonan diterima dengan 15,522 telah diberi kelulusan. Carta 2.6 menunjukkkan bilangan permohonan untuk Kebenaran Khas yang diterima dan diluluskan.
Carta 2.6: Permohonan Kebenaran Khas Bagi Tahun 2001 Sehingga 2005 Tindakan Penguatkuasaan Tindakan Penguatkuasaan merupakan tindakan yang dikenakan kepada kontraktor yang melakukan kesalahan-kesalahan seperti memberi maklumat palsu, menolak tawaran undi, sebutharga atau tender yang telah disetujuterima. Tindakan juga diambil terhadap kontraktor yang menyertai tender, kerja undi, sebutharga atau pra-kelayakan ketika penahanan atau penggantungan, mengagihkan kontrak atau bertindak sebagai agen komisyen atau penipuan kontrak, mengalibabakan lesen dan sebagainya mengikut kategori yang telah ditetapkan oleh PKK. Sebanyak 129, kontraktor telah dikenakan tindakan tatatertib pada 2005. Daripada jumlah itu, 120 kontraktor ditahan daripada memasuki tawaran kerja manakala sembilan (9) kontraktor pula telah dikenakan tindakan gantung lesen pendaftaran. Perincian bilangan kontraktor yang dikenakan tindakan tatatertib bagi RMKe-8 adalah seperti Carta 2.7.
Carta 2.7: Bilangan Kontraktor Yang Dikenakan Tindakan Tatatertib Bagi Tahun 2001 Sehingga 2005 Latihan dan Khidmat Nasihat Terdapat 16 jenis kursus yang dianjurkan oleh PKK yang berbentuk teknikal, pengurusan dan motivasi. Sepanjang 2005, PKK telah melaksanakan 67 kursus berbanding 46 kursus pada tahun 2004. Bagi 67 kursus yang telah dilaksanakan, PKK berjaya melatih 3,100 kontraktor dalam pelbagai kemahiran. Bilangan yang dilatih ini bertambah sebanyak 759 kontraktor berbanding 2,341 pada 2004. Bilangan dan jenis-jenis kursus yang telah dilaksanakan adalah seperti dalam Jadual 2.19 dan Jadual 2.20.
Jadual 2.19: Bilangan Kursus Yang Dianjurkan Pada Tahun 2002 Sehingga 2005
Jadual 2.20: Kursus-kursus Yang Ditawarkan Pada Tahun 2002 Sehingga 2005
PROSPEK Pkk akan merancang, melaksana dan memperkukuh program sedia ada bagi meneruskan kesinambungan dalam memperkasakan kontraktor. Antara program baru yang akan dilaksanakan adalah kursus-kursus teknikal, program khidmat nasihat dan program pendedahan kontraktor Bumiputera ke peringkat antarabangsa. Bagi membuka ruang dan jaringan perniagaan yang lebih luas, kontraktor digalakkan menyertai seminar, forum, misi perdagangan dan kerjasama antarabangsa. PKK juga merancang untuk menjalankan beberapa kajian bagi membantu mempelbagaikan bidang dan keupayaan usahawan binaan Bumiputera. Antara kajian yang akan dilaksanakan adalah kajian profail perniagaan seperti kaca, aluminium, pasir dan sebagainya.
KESIMPULAN PKK bertanggungjawab membangunkan usahawan binaan Bumiputera agar dapat bersaing di peringkat tempatan serta global. Pelbagai program turut dilaksana agar kontraktor memperoleh input yang diperlukan untuk berjaya. PKK turut melaksanakan penambahbaikan dasar agar usahawan binaan tempatan khasnya Bumiputera menjadi lebih berdaya saing.
|