:: Utama :: Mengenai Kami :: Panduan Pendaftaran :: Rujukan :: Kursus & Latihan :: Alamat Pejabat Cawangan :: Aduan PKK :: Intranet :: MECD Web ::

  MENGENAI KAMI  

  :: LAPORAN TAHUNAN 2006 PUSAT KHIDMAT KONTRAKTOR ::

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENGENALAN

Kemajuan sesebuah negara antara lain diukur melalui pembangunan fizikal negara tersebut. Berasaskan kenyataan itu, kerajaan mengambil langkah menubuhkan satu agensi khas untuk memantau dan menyelaras aktiviti industri pembinaan negara. Bermula tahun 1985, Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) ditubuhkan dengan fungsi asalnya dilaksanakan oleh PUSAKABUMI di bawah Jabatan Perdana Menteri. PKK sebagai pusat pendaftaran kontaktor juga berperanan membangun usahawan binaan tempatan dan tempat rujukan maklumat industri binaan negara.

 

TERAS STRATEGI

Strategi bagi merangsang aktiviti sektor pembinaan, khususnya pembangunan usahawan binaan Bumiputera adalah seperti berikut:

  • Pemantapan kursus meliputi aspek teknikal, pengurusan kewangan, motivasi dan pembangunan insan;

  • Menstrukturkan semula kepala atau sub-kepala supaya seiring dengan kemajuan dan keperluan industri pembinaan;

  • Menggalakkan penerokaan pasaran antarabangsa melalui kerjasama syarikat pembinaan luar negara;

  • Menggalakkan kontraktor Bumiputera mengguna kaedah Industrialised Building System (IBS) bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing;

  • Mengukuhkan kualiti kontraktor melalui dasar baru Kelas F; dan

  • Menganjurkan ekspo pembinaan mengikut zon bagi menggalakkan jaringan perniagaan dan mewujudkan direktori usahawan Bumiputera dalam sektor pembinaan.

Sistem Binaan Berindustri (IBS)

Antara Usaha yang dijalankan oleh PKK bagi Sistem Binaan Industri ini termasuklah mengadakan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) dan Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) melalui penganjuran bengkel dan taklimat berkaitan dengan Industrialised Building System (IBS) dan seterusnya mengenalpasti senarai pengeluar bahan-bahan binaan dan komponen IBS yang terdiri dari golongan Bumiputera.

Sehingga kini, PKK telah mengenalpasti 35 syarikat milik Bumiputera yang terdiri daripada pengeluar bahan-bahan binaan dan komponen IBS di seluruh Malaysia.

 

PRESTASI

Sehingga Disember 2006, 46,475 kontraktor telah berdaftar. Daripada jumlah tersebut, 43,700 kontraktor kerja awam dan 2,775 adalah kontraktor kerja elektrik. Kontraktor kerja awam bertaraf Bumiputera adalah 39,238 (89.8%) manakala kontraktor kerja elektrik bertaraf Bumiputera adalah 1,773 (63.9%).

Bilangan kontraktor bagi kerja awam dan kerja elektrik mengikut kaum sehingga Disember 2006 adalah seperti di Jadual 2.15 dan Jadual 2.16

 

Jadual 2.15

Bilangan Kontraktor Kerja Awam Berdaftar Mengikut Kaum Sehingga Disember 2006

 

KELAS

BILANGAN KONTRAKTOR

BUMIPUTERA BUKAN BUMIPUTERA
A 1,400 564
B 924 631
C 1,218 564
D 2,689 1,915
E 814 788
F 32,193 -
JUMLAH 39,238 4,462

 

 

Jadual 2.16

Bilangan Kontraktor Kerja Elektrik Berdaftar Mengikut Kaum Sehingga Disember 2006

 

KELAS

BILANGAN KONTRAKTOR

BUMIPUTERA BUKAN BUMIPUTERA
I 182 134
II 511 180
III 706 295
IV 330 304
V 35 78
VI 9 11

JUMLAH

1,773 1,002

 

PENDAFTARAN KONTRAKTOR

Permohonan Pendaftaran  Baru

Sebanyak 3,144 permohonan Pendaftaran Baru telah diterima pada tahun 2006 dan sebanyak 1,317 telah diluluskan.

Permohonan Naik Kelas

PKK telah meluluskan 318 (71.6%) permohonan Naik Kelas berbanding 444 yang dipohon pada tahun 2006.

Permohonan Tambah Kepala/Sub Kepala

Bagi kategori ini, sebanyak 4,385 permohonan diterima pada tahun 2006 dan sebanyak 2,180 (49.7%) telah diluluskan.

Permohonan Pembaharuan Pendaftaran

Sebanyak 24,406 permohonan Pembaharuan Pendaftaran diterima oleh PKK pada tahun 2006. Daripada jumlah tersebut, 18,538 (75.6%) permohonan telah diluluskan. Permohonan Pembaharuan akan dibuat oleh kontraktor setiap dua (2) tahun sekali kecuali bagi kelas F iaitu tiga (3) tahun sekali.

Permohonan Pengiktirafan Taraf Bumiputera

Bilangan Permohonan untuk mendapatkan Taraf Bumiputera pada tahun 2006 adalah sebanyak 6,061 dan dari jumlah tersebut sebanyak 4,153 (68.5%) telah diluluskan.

Permohonan Kebenaran Khas

Pada tahun 2006, sebanyak 4,413 (68.3%) permohonan telah diluluskan daripada 6,464 yang diterima.

Prestasi bilangan permohonan Pendaftaran Baru, Naik Kelas, Tambah Kepala, Pembaharuan Pendaftaran, Pengiktirafan Taraf Bumiputera dan Kebenaran Khas adalah seperti di Jadual 2.17

 

Jadual 2.17

Bilangan Permohonan Pendaftaran Kontraktor Awam Dan Elektrik

 

JENIS PERMOHONAN PERMOHONAN DITERIMA PERMOHONAN DILULUSKAN
Pendaftaran Baru 3,144 1,317
Naik Kelas 444 318
Tambah Kepala 4,385 2,180
Pembaharuan Pendaftaran 24,406 18,538
Pengiktirafan Taraf Bumiputera 6,061 4,153
Kebenaran Khas 6,464 4,413

JUMLAH

44,904 30,919

 

 

TINDAKAN TATATERTIB

Tindakan tatatertib merupakan tindakan yang dikenakan kepada kontraktor yang melakukan kesalahan-kesalahan seperti memberi maklumat palsu, menolak tawaran undi/sebut harga/tender yang telah disetujuterima, menyertai tender/kerja undi/sebut harga/pra-kelayakan ketika penahanan atau penggantungan, mengagihkan kontrak atau bertindak sebagai agen komisyen atau penipuan kontrak, meng'alibaba'kan lesen dan sebagainya mengikut kategori yang telah ditetapkan oleh PKK.

Pada tahun 2006 sebanyak 97 kontraktor telah dikenakan tindakan tatatertib. Daripada jumlah itu, 80 kontraktor ditahan daripada memasuki tawaran dan 17 kontraktor telah dikenakan tindakan gantung lesen.

 

Pembangunan dan Latihan

Latihan : Terdapat 16 jenis kursus berbentuk teknikal, pengurusan dan motivasi. Pada tahun 2006, PKK telah melaksanakan sebanyak 152 kursus dan berjaya melatih 7,997 orang kontraktor dalam pelbagai kemahiran. Jenis-jenis kursus adalah seperti berikut:

 

BIL KURSUS
1 Pembangunan dan Pemuliharaan Hutan
2 Pembinaan dan Penyelenggaraan Jambatan/Jeti
3 Pengurusan Landskap dan Seni Taman
4 Pembinaan dan Penyelenggaraan Jalan
5 Pengairan, Saliran dan Pembentungan
6 Pemasangan Paip dan Bekalan Air
7 Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran
8 Pembinaan Bangunan dan Konkrit Bertetulang
9 Pemasangan Jubin
10 Sistem Penyaman Udara
11 Kursus Asas Kontraktor
12 Pelan dan Anggaran Binaan
13 Kursus Critical Path Method (CPM)
14 Kursus AutoCAD
15 Kursus Motivasi dan Peningkatan Kualiti
16 Kursus Pengurusan Projek dan Kewangan

 

Sistem Binaan Berindustri (IBS) : Bagi Meningkatkan penggunaan IBS oleh kontraktor Bumiputera, PKK dengan kerjasama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) dan Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM), menganjurkan taklimat dan mengenalpasti pengeluar bahan binaan dan komponen IBS Bumiputera. Pada tahun 2006, PKK telah menganjurkan dua (2) taklimat IBS dan mengenalpasti 35 syarikat milik Bumiputera.

 

PROSPEK

PKK akan mewujudkan program pewujudan pengeluar dan pembekal bahan binaan Bumiputera, program kerjasama strategik antarabangsa dan memantapkan program latihan dan khidmat nasihat bagi melahirkan usahawan binaan Bumiputera yang lebih dinamik dan bertaraf dunia.

Penyertaan kontraktor Bumiputera dalam IBS akan dilaksanakan menerusi penganjuran program latihan dan khidmat nasihat dan penyediaan roadmap berkaitan.

Sistem penyampaian perkhidmatan PKK kepada pelanggan akan dipertingkatkan dengan adanya sistem pendaftaran kontraktor secara on-line. Di samping itu, PKK akan mendapat pengiktirafan MS ISO 9001:2000 pada tahun 2007 melalui sistem pendaftaran kontraktor.

KESIMPULAN

Selaras dengan visi untuk mewujudkan kontraktor Bumiputera yang berkualiti dan berdaya saing menjelang Wawasan 2020, PKK telah berusaha meningkatkan perlaksanaan program pembangunan usahawan binaan seperti penganjuran kursus-kursus teknikal dan pengurusan bagi melahirkan kontraktor Bumiputera yang berkemahiran. Di samping itu, PKK turut melaksanakan penambahbaikan dasar agar usahawan binaan tempatan menjadi lebih berdaya maju.

 

ARTIKEL TERAJU

EKSPO INDUSTRI BINAAN

Kejayaan PKK menganjurkan Kursus Motivasi dan Peningkatan Kualiti pada tahun 2006 serta keupayaan menghimpun ramai kontraktor dalam satu (1) kursus telah memberi ilham kepada Ketua Setiausaha MECD, Dato' Mangsor bin Saad agar satu program yang boleh memberi nilai tambah kepada kontraktor dilaksanakan. Hasilnya, Ekspo Industri Binaan telah diperkenal dan dijalankan serentak dengan Kursus Motivasi dan Peningkatan Kualiti Kontraktor.

Melalui ekspo ini, PKK berusaha untuk mempertemukan semua pihak yang terlibat dengan industri binaan, khususnya peserta kursus dengan pengeluar dan pembekal bahan binaan yang menyertai ekspo. Selain itu, agensi yang terlibat secara langsung atau menyokong industri ini  turut dijemput mengambil bahagian dalam ekspo binaan ini. Ia diharap dapat membuka ruang kepada kontraktor untuk meluaskan jaringan perniagaan.

Melalui penyertaan dalam ekspo ini, kontraktor dapat menjalin hubungan terus dengan pengeluar dan pembekal, seterusnya dapat memberi impak positif dalam mengurus masa dan kewangan projek yang diperolehi. Bagi pengeluar dan pembekal bahan pula, ekspo ini akan membantu mereka mencari pelanggan yang berpotensi. Tambah menarik, setiap pemamer diberi ruang untuk mempromosikan produk mereka kepada peserta kursus ketika kursus sedang berlangsung.

Negeri Sabah menjadi lokasi pertama ekspo dengan majlis pelancarannya disempurnakan di Bandar Sandakan oleh Setiausaha Parlimen MECD, Dato' Samsu Baharun bin Abdul Rahman pada 16 Julai 2006. Seterusnya, di Kuching, Sarawak dengan perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri MECD, Dato' Khamsiyah binti Yeop pada 16 Mei 2006. Menteri MECD, Y.B. Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin telah menyempurnakan acara kemuncak dan penutup ekspo tahun 2006 pada 3 Disember 2006 di Johor Bahru, Johor.

Sehingga akhir tahun 2006, PKK telah berjaya mengumpul hampir 80 pengeluar dan pembekal serta pihak yang terbabit dalam industri ini untuk sama-sama menjayakan ekspo tersebut. Dalam masa yang sama, seramai hampir 700 kontraktor yang menjadi peserta kursus mendapat manfaat secara terus dari pemamer. Secara keseluruhan, dianggarkan hampir 5,000 pengunjung hadir ketika ekspo ini dijalankan di tiga (3) bandar yang terpilih.